Sebelum saya memulakan penulisan saya, biarlah saya perkenalkan diri saya dahulu agar apa yang akan saya hujahkan dapat disandarkan autoriti keatasnya. Saya adalah seorang pensyarah kanan kejuruteraan struktur di UTM. Bidang kepakaran saya adalah kejuruteraan struktur, mekanik continuum (continuum mechanics) dan analisis numerikal (numerical analysis). Saya mendapat PhD dari Imperial College London pada 2007 ketika berumur 30 tahun.
Sebagai seorang yang ‘ahli’ dalam bidang ini (merujuk kepada kejuruteraan, sains dan matematik), saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat saya mengenai PPSMI. Di sini ingin saya tegaskan, PSSMI harus dan mesti diteruskan demi survival anak-anak kita di masa hadapan. Berikut adalah hujahan saya.
Saya mulakan dengan pernyataan “Ilmu sains dan matematik terlalu kehadapan sehingga melampaui apa yang kita sangkakan”. Ia terlalu kehadapan sehinggakan sebahagian besar ilmu-ilmu tersebut tidak seorang pun di Malaysia (termasuk saya) dapat memahaminya apatah lagi menguasainya. Dan keadaan menjadi kritikal apabila ilmu-ilmu inilah penentu kepada penguasaan dunia dan kemerdekaan sesebuah ‘agama, bangsa dan negara’. Ilmu-ilmu inilah yang didagangkan oleh negara-negara maju yang produknya kita beli dan kita tagihi menyebabkan kita terus ‘miskin’.
Untuk memperjelaskan lagi kepada pembaca, biar saya berikan satu contoh. Lima tahun dahulu telefon bimbit yang tidak boleh merakam video berharga RM 700. Sekarang, dengan dilengkapi dengan rakaman video, telefon bimbit tersebut masih lagi pada harga yang sama. Persoalannya, berapakah harga teknologi rakaman video ini? Ini yang merunsingkan saya dan ia sepatutnya merunsingkan kita semua. Jika teknologi sehebat ini, teknologi yang tiada siapa diantara kita dapat menghasilkannya, amat ‘murah’ harganya, bayangkan ilmu apa lagi yang tersimpan di dalam otak pemikir-pemikir dan saintis-saintis di negara-negara yang ‘mencipta dan menjual telefon-telefon itu’. Sampai bila kita harus menjadi ‘pembeli’, sampai bila kita harus menjadi ‘pengikut’ dan sampai bila kita mesti menjadi ‘hamba’? Inilah persoalan-persoalan yang harus kita jawab demi survival anak-anak kita. Dan jawapannya, sampai kita sendiri menguasai ilmu-ilmu tersebut. Persoalan seterusnya, bila dan bagaimana? Jawapannya, bermula dari sekarang dan caranya adalah seperti yang saya hujahkan di bawah.
Percayakah pembaca bahawa pembelajaran sains dan matematik pada zaman ini perlu dilakukan oleh pelajar-pelajar secara kendiri (independent) kerana pembelajaran dalam bentuk formal seperti menghadiri kuliah dan tutorial tidak lagi mencukupi. Ini kerana ketika ini, dunia sedang mengalami limpahan ilmu sehinggakan masa dan ruang tidak lagi menyebelahi guru-guru dan pensyarah-pensyarah untuk mereka ajarkan ilmu-ilmu secara keseluruhannya (dan ditambah oleh keterbatasan ilmu guru-guru dan pensyarah-pensyarah itu sendiri seperti yang telah dibincangkan di atas). Pembelajaran kendiri inilah yang memerlukan PPSMI diteruskan.
Pembelajaran kendiri mempunyai pelbagai bentuk dan antaranya ialah pembelajaran kendiri melalui pembacaan. Sebelum kita berbicara lebih jauh, biarlah saya hadkan skop perbincangan kita kepada permasalahan di peringkat pengajian tinggi.
Tahukah pembaca, buku-buku rujukan saintifik dan matematik adalah amat kurang ditulis oleh ahli-ahli akademik tempatan? Malah, pada jumlah penerbitan yang sedikit ini pun, kebanyakannya ditulis didalam bahasa Inggeris. Tahukah juga pembaca, di dalam adab membaca, kita harus memilih bahan bacaan yang telah ‘matang’ (established) yang selalunya ditulis oleh professor-professor besar dalam bidang-bidang yang berkenaan. Analoginya, jika kita ingin mempelajari ilmu telefon bimbit berkamera video yang telah kita bincangkan di atas, kita mesti membaca buku yang ditulis oleh professor-professor yang ‘mencipta’ telefon-telefon itu. Dan masalahnya, semua buku-buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris. Akan ada yang mencadangkan supaya diterjemahkan sahaja buku-buku ini. Untuk cadangan ini biar saya hujahkan,
i) proses penterjemahan akan melibatkan kehilangan makna pada idea yang cuba disampaikan kerana tiada apa yang lebih asli dan tulus selain dari ungkapan asal penulis tersebut dan dalam hakikat pembelajaran sains dan matematik yang kandungannya amat berat dan kompleks, kita tidak mampu kehilangan makna-makna ini
ii) penterjemahan sebenarnya menambahkan kekeliruan pembaca kerana perkataan yang diterjemahkan itu sendiri bukanlah ayat yang biasa digunakan seharian. Sebagai contoh, perkataan ‘pengamiran’ yang digunakan untuk menggantikan perkataan ‘integration’ tidak pun pernah kita gunakan dalam urusan seharian. Bertambah pelik apabila ‘joy stick’ diterjemahkan sebagai ‘kayu ria’. Apa perlunya penterjemahan jika ‘trivial solution’ digantikan oleh ‘penyelesaian trivial’. Apakah perkataan Bahasa Melayu untuk trivial? Ini juga adalah bukti kepada hakikat bahawa matematik dan sains pada masa ini telah direkabentuk (designed) untuk ‘dibawa ke mana-mana’ dalam bahasa Inggeris kerana tatabahasanya dan tatacaranya telah di‘disiplin’kan dengan ketat oleh pencipta-pencipta ilmu itu sendiri.
iii) tahukah pembaca, untuk memahami sesuatu ilmu melalui pembacaan, adalah tidak cukup dengan hanya membaca sebuah buku? Kita perlu membaca beberapa buah buku ‘serentak’ dan membuat perbandingan antara buku-buku tersebut. Ini kerana, hanya dengan mengenalpasti persamaan dan perbezaan antara fakta-fakta dan formula-formula, barulah kita mendapat kefahaman yang sebenar tentang subjek yang sedang kita pelajari. Maka, bukan sebuah malah berpuluh buah buku dari genre yang sama perlu kita terjemahkan dan bukankah ini akan mengambil masa yang lama? Dan bukankah dalam masa lima tahun telefon bimbit telah berevolusi dengan drastiknya seperti yang telah kita bincangkan di atas. Sekali lagi saya nyatakan, kita tidak lagi mempunyai masa dan itulah masalah kita yang utama.
Oleh itu, dalam konteks perbincangan di atas, saya amat menyokong PPSMI. Ini kerana, polisi tersebut sebenarnya menyediakan pelajar-pelajar kita kearah pembelajaran kendiri. Pelajar-pelajar kita akan mampu membaca buku-buku yang berkaitan sebelum memasuki kuliah dan apatah lagi selepas kuliah. Pelajar kita akan mampu mencari dan memahami idea-idea terkini tanpa perlu terlalu bergantung dengan guru-guru dan pensyarah-pensyarah. Dan insyaAllah, akan wujud insan-insan istimewa yang tercungkil bakatnya sehingga memenangi Anugerah Nobel Fizik hasil dari fenomena pembelajaran kendiri ini kerana sejarah telah membuktikan ramai saintis agung seperti Albert Einstein, Feynman, John Nash dan Arthur Eddington adalah self-leaners.
Pengalaman saya sendiri ketika menduduki ijazah pertama tidaklah begitu membanggakan. Pada zaman saya, kami hanya membaca nota-nota kuliah pensyarah kami dan bukan buku-buku teks yang sepatutnya. Walaupun ada pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini seperti sikap dan keadaan sekeliling, tetapi tidak dapat dinafikan kekurangan kami dalam memahami bahasa Inggeris adalah penghalang utama bagi kami untuk membaca buku-buku yang lebih bersesuaian (appropriate) walaupun buku-buku ini berlambak di perpustakaan. Tetapi, pasti akan ada yang mempersoalkan, ‘kenapa generasi saya masih berjaya sehingga ke hari ini sedangkan kami mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu?’. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu kembali kepada permasalahan telefon bimbit berkamera yang telah saya bangkit diawal penulisan ini. Apa yang kita maksudkan dengan berjaya? Adakah ia bermaksud berjaya membeli telefon-telefon bimbit itu atau berjaya mencipta telefon-telefon bimbit itu? Pepatah Melayu klasik ada mengatakan, tepuk dada tanyalah selera tetapi pepatah Melayu moden pula mengatakan, lu pikir la sendiri!
Pengalaman saya ketika di Imperial College pula menambahkan lagi kerisauan saya. Di mana-mana sahaja saya melihat orang membaca buku. Baru saya tersedar, untuk saya maju di persada antarabangsa, tidak dapat tidak, ada buku-buku yang wajib saya baca, fahami dan habiskan iaitu buku-buku yang boleh saya ‘bualkan’ untuk melayakkan saya duduk semeja dengan ahli-ahli akademik ini. Kata lainnya, jika anda tidak memahami buku-buku tertentu bermakna anda tidak cukup pandai dan akibatnya, anda akan dipandang rendah dan seterusnya tidak layak bergaul dengan mereka. Oleh itu, saya telah bertekad untuk mula membaca dan buku yang ingin saya takluki ketika itu bertajuk Finite Element Procedure yang ditulis oleh Klaus Jurgen Bathe, seorang professor kejuruteraan mekanikal di MIT. Hasilnya, saya adalah antara pelajar PhD yang paling dihormati di jabatan saya ketika itu (untuk pengesahan, sila hubungi penyelia saya yang juga Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam Imperial College, Professor David A. Nethercot). Dan percayalah, buku yang setebal 1037 mukasurat ini amatlah sukar untuk dibaca apatah lagi untuk difahami matematik dan hujahan saintifiknya jika tidak dibekalkan dengan kemahiran bahasa Inggeris. Untuk pengetahuan semua, selepas hampir 4 tahun saya membaca, saya masih belum memahaminya seratus peratus dan sehingga kini saya masih membacanya!
Memang benar saya akhirnya berjaya mendapat PhD daripada Imperial College walaupun saya dididik pada awalnya tanpa PPSMI. Tetapi tahukah pembaca betapa peritnya dan payahnya saya dalam menelaah buku-buku, kertas-kertas jurnal yang semuanya dalam bahasa Inggeris. Betapa sengsaranya saya untuk menulis artikel-artikel dan tesis dalam bahasa Inggeris. Betapa tebalnya muka saya berinteraksi dengan ahli-ahli akademik antarabangsa dalam keadaan serba kekurangan seperti itik dan ayam, terutamanya pada awal perkenalan kami. Memang benar saya telah mengharungi semua ini dengan jayanya tetapi percayalah, tidak ramai umat Malaysia yang hatinya ‘sekering’ saya dan ‘senasib baik’ seperti saya. Sebenarnya, kesusahan yang tidak efisien yang telah saya lalui tidak perlu berulang lagi pada anak-anak kita jika kita teruskan PPSMI. Peganglah pada pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Untuk pengetahuan semua, dewasa ini institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia sedang mengalami proses pengantarabangsaan. Antara proses yang terlibat adalah usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang belajar ke negara ini. Dalam mencapai matlamat ini, adalah menjadi keperluan bagi fakulti-fakulti untuk menyediakan kuliah dan nota-nota dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, dua kuliah yang sedang saya berikan berlangsung seratus peratus dalam bahasa Inggeris kerana terdapat pelajar-pelajar luar negara yang menghadiri kelas-kelas tersebut. Maka, berdasarkan scenario ini, tidakkah agak janggal untuk kita menghapuskan PPSMI yang telah berlangsung selama enam tahun sedangkan universiti-universiti kita sedang bergerak dalam arah yang bertentangan, iaitu transformasi seratus-peratus kepada bahasa Inggeris? Tidakkah kita sedang menghadapi konflik keinginan (conflict of interest) dalam perkara ini.
Akan ada yang mempersoalkan “kenapa tidak kita wajibkan sahaja pelajar-pelajar luar negara ini untuk mempelajari Bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum memulakan pengajian mereka di negara kita?” Untuk persoalan ini, ingin saya nyatakan bahawa universiti-universiti kita belum cukup kukuh dan ternama untuk kita berkeras (insist) pada perkara-perkara sebegini. Secara tidak langsung, jawapan ini juga adalah satu lagi bukti kepada betapa kita perlu menghasilkan ilmu-ilmu kita sendiri terlebih dahulu sebelum kita bertegas (insist) pada perkara-perkara yang lebih sentimen dan romantik seperti hak penggunaan bahasa dan sebagainya.
Mungkin ada yang menyangkal dengan mengatakan hujah-hujah saya di atas hanya melibatkan pengajian peringkat tinggi sahaja lantas hanya relevan untuk bidang penyelidikan dan pengajian sarjana atau PhD di unvisersiti-universiti. Baiklah, biar saya panjangkan lagi hujahan saya agar meliputi scenario yang lebih am iaitu di peringkat professional dan industri. Percayakah pembaca jika saya katakan, di negara-negara maju, masyarakatnya tidak pernah berhenti belajar. Seorang jurutera di negara maju akan terus membaca kertas-kertas jurnal yang terkini semata-mata untuk memastikan beliau tidak ketinggalan dengan arus perubahan. Selain itu, pembelajaran peringkat industri tetap berjalan dalam bentuk konferen, konvensyen, seminar dan persidangan meja bulat. Bukankah acara-acara sebegini memerlukan seseorang ahli professional itu terus membaca kertas-kertas teknikal, mempertahankan hujah-hujah dan memenangi perdebatan? Dan bukankah acara-acara ini, yang dihadiri oleh individu-individu dan organisasi-organisasi antarabangsa, semuanya dilangsungkan dalam bahasa Inggeris? Dan bukankah perkara-perkara yang didebatkan semuanya berkisar kepada penyelesaian-penyelesaian saintifik dan matematik terbaru didalam bidang tersebut? Di manakah agaknya kedudukan professional dan jurutera kita di dalam persidangan tersebut jika kita terus menggunakan ‘pengamiran’ untuk menggantikan integration. Dan apakah input yang dapat dihadam dan keberkesanan yang dapat diperoleh oleh professional dan jurutera kita jika perdebatan-perdebatan yang telah berlangsung dengan rancaknya tidak dapat mereka ikuti semata-mata disebabkan kekurangan mereka dalam memahami perkara-perkara teknikal yang telah disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Dan jika ada pula yang menyatakan apa perlu kita berurusan dengan individu-indvidu dan organisasi-organisasi antarabangsa tatkala kita boleh membina industri kita sendiri?, satu sahaja jawapan saya, fahamilah maksud dan fenomena yang dipanggil globalisasi. Ia adalah satu keadaan di mana kerajaan-kerajaan semakin hilang kekuasaannya dalam membuat keputusan berkenaan hal-ehwal negaranya sendiri. Dasar tutup pintu bukan lagi suatu pilihan. Sempadan negara-negara akan dibuka. Syarikat-syarikat dan pekerja-pekerja asing boleh menembusi dan memasuki pasaran mana-mana negara. Dan, walaupun anak-anak kita, secara teorinya, boleh menembusi pasaran di Amerika Syarikat, tetapi persoalannya, siapa yang hendak mengambil anak-anak kita bekerja atau menjadi rakan kongsi jika ilmu sains dan matematik mereka jauh ketinggalan? Dan, bila tiba saat itu, bersedialah kita untuk dipersalahkan, “kenapa 25 tahun dahulu emak dan ayah menolak PPSMI, kenapa?!!!”. Wallahualam.