SENARAI LAGU-LAGU AKU (LIST OF MY SONGS)
SENARAI LAGU-LAGU AKU (LIST OF MY SONGS) - click la kalau nak dengar...
Ruang (rock), Syukurku (Rock), Pagi Tadi,Gonna Leave You Tonite, Permaisuri, Kembali, I'll Miss You Bro, Give Me Your Love, Syukurku (acous), Ceria di UTM (acous), Rindu Pada Mu (acous), Kasih Mu (acous), Ruang (acous), Selamat Tinggal UTM (acous), Mak dan Ayah (acous), Jauh Begini (acous), Arabic and Pentatonic (Gitar Solo), Apa Nak Jadi (Gitar Solo)
Ruang (rock), Syukurku (Rock), Pagi Tadi,Gonna Leave You Tonite, Permaisuri, Kembali, I'll Miss You Bro, Give Me Your Love, Syukurku (acous), Ceria di UTM (acous), Rindu Pada Mu (acous), Kasih Mu (acous), Ruang (acous), Selamat Tinggal UTM (acous), Mak dan Ayah (acous), Jauh Begini (acous), Arabic and Pentatonic (Gitar Solo), Apa Nak Jadi (Gitar Solo)
Tuesday, 24 September 2013
RANKING UNIVERSITI DAN PERMASALAHANNYA DI MALAYSIA (published in Sinar Harian)
[this article of mine was published on 19th September 2013]
SETIAP tahun, kita akan sibuk membincangkan isu ranking atau kedudukan universiti-universiti Malaysia di persada dunia, yang terbaru adalah senarai yang dikeluarkan oleh QS World University Rankings di mana universiti-universiti kita berlegar di kedudukan 200-300 dunia.
Pandangan dan respon terhadap ranking ini terbahagi kepada dua. Pandangan pertama melihat penyenaraian universiti-universiti dunia ini adalah sesuatu yang positif kerana ia boleh memberikan satu bentuk ukuran kepada tahap pencapaian sesebuah universiti itu.
Pandangan kedua pula lebih melihat penyenaraian ini hanyalah satu bentuk eksploitasi di mana kriteria-kriteria yang digunakan tidak tepat dan tidak memberikan gambaran sebenar pencapaian dan falsafah penubuhan sesebuah universiti itu.
Malah, ada pihak yang menyatakan ranking ini adalah satu strategi pemasaran bertujuan untuk merendahkan kemampuan universiti-universiti dari negara membangun dan membanggakan seterusnya mempromosikan universiti-universiti di negara maju.
Namun, walau apa pun pandangan kita, sama ada pandangan pertama atau kedua, kita haruslah bersetuju bahawa universiti-universiti kita wajib menggiatkan usaha agar setaraf dengan universiti-universiti terkemuka dunia.
Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan dan keagungan sesuatu masyarakat dan negara bermula dan berjalan seiring dengan kemajuan ilmu dikalangan masyarakat dan universiti-universitinya.
Tamadun Yunani sinonim dengan pemikir-pemikirnya dan juga intitusi-institusi kelimuannya seperti Academy yang ditubuhkan oleh Plato dan Lyceum yang ditubuhkan oleh Aristotle.
Zaman kegemilangan Islam pula menyaksikan kelahiran ilmuan-ilmuan seperti Al-Ghazali, Al-Farabi dan Ibn Sina serta terbangunnya Bait Al-Hikmah di Baghdad dan Al-Azhar di Egypt. Di Morocco pula, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu(Unesco) telah mengiktiraf Al-Qarawiyyin sebagai institusi pertama yang mengeluarkan ijazah lantas diiktiraf sebagai universiti yang pertama di dunia.
Kemajuan ilmu seterusnya disambung oleh masyarakat di hemisfera barat bermula dari Zaman Pencerahan sehinggalah ke hari ini. Nama-nama seperti Isaac Newton, Gauss, James Clerk Maxwell, Einstein, Steve Job, Bill Gates mula terbit di jurnal-jurnal ilmiah bersama rekaan dan inovasi mereka.
Dan berdasarkan ranking QS yang terkini, universiti-universiti di UK dan US menduduki senarai sepuluh yang terbaik di dunia; MIT (1), Harvard (2), Cambridge (3), UCL (4), Imperial College (5), Oxford (6), Stanford (7), Yale (8), Chicago (9) dan Caltech (10).
Di Asia pula, universiti-universiti di timur jauh seperti Universiti Hong Kong, Universiti Tokyo, Universiti Peking dan Universiti Kebangsaan Seoul pula mengungguli kedudukan terbaik.
Maka, bukanlah satu kebetulan apabila masyarakat berkulit putih dan berkulit kuning ini yang mencaturkan dunia pada era ini dalam segenap segi. Ia bukanlah satu kebetulan kerana mereka hanya mengulangi sejarah “Siapa berilmu dialah kudrat”.
Berdasarkan ini, seharusnya kita berasa khuatir dengan kedudukan dan pencapaian universiti-universiti kita apatah lagi pada hakikat kedudukan kita adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara Islam yang lain.
Bagaimana kita hendak mencapai wawasan 2020 iaitu menjadi negara yang setanding dengan negara-negara maju jika universiti-universiti kita yang sepatutnya menjadi penjana kepada kemajuan masih lagi belum setanding?
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, permasalahan utama yang kita sedang hadapi ialah universiti-universiti kita masih belum mampu menjalankan tugas-tugas akademia yang sebenar iaitu melahirkan ilmu dan teknologi baru serta graduan-graduan yang mampu mencari ilmu secara kendiri serta bersifat inovatif.
Sebaliknya, universiti-universiti kita masih lagi ditahap pengajian teknikal dan vokasional dimana ia hanya melahirkan graduan yang lebih layak digelar juruteknik kerana hanya mampu membuat kiraan-kiraan yang telah ditetapkan dan melakukan kerja-kerja yang tipikal.
Pelajar-pelajar kita masih lagi hanya diajar menggunakan rumus-rumus terakhir, jadual-jadual yang telah tersedia dan mengikuti prosedur-prosedur piawai tanpa didahului dengan perbincangan berkenaan penerbitan dan prinsip serta falsafah saintifik yang membelakangi rumus-rumus, jadual-jadual dan prosedur-prosedur tersebut.
Tanpa pemahaman yang fundamental, bagaimana mungkin pelajar-pelajar dapat memahami sedalam-dalamnya sesuatu ilmu tersebut. Tanpa pemahaman yang mendalam pula,bagaimana mungkin kita dapat menghasilkan output saintifik seperti ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru.
Dan tanpa output saintifik sebegini, bagaimana mungkin universiti-universiti kita dapat tersenarai tinggi di ranking dunia tapi lebih penting, tanpa output sebegini, bagaimana mungkin negara dapat menyediakan ekonomi lestari (sustainable economy) kerana ekonomi sebegini amat bergantung kepada inovasi dan produk berasaskan pengetahuan (knowledge-based product).
Tetapi pelajar-pelajar adalah pihak terakhir yang patut dipersalahkan kerana mereka hanya menerima apa yang diajarkan kepada mereka. Pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan adalah pentadbir dan pensyarah-pensyarah di universiti itu sendiri.
Sama ada mereka tidak sedar akan permasalahan ini atau mereka tidak mampu menyelesaikannya.
Mereka tidak mampu kerana ada kemungkinan mereka sendiri tiada kepakaran dan kefahaman yang mendalam dalam bidang tersebut. Ini tidak mustahil kerana jika kita menilai semula kelayakan akademik terutamanya kajian-kajian PHD pensyarah-pensyarah kita, amat sedikit yang benar-benar berkecimpung dalam arena fundamental dan berunsurkan matematik.
Saya menyatakan perkara ini bukan sahaja berdasarkan pengalaman saya sebagai pensyarah, bukan sahaja melalui komunikasi saya dengan pensyarah-pensyarah yang lain tetapi berdasarkan juga keterlibatan saya dalam beberapa program yang berbentuk penjalinan subjek-subjek matematik, fundamental dan aplikasi terutamanya yang berkaitan dengan kejuruteraan. Program-program yang boleh saya nyatakan tidaklah begitu berjaya.
Mungkin di sini saya boleh mencadangkan dua kaedah yang boleh diambil untuk menyelesaikan permasahan ini. Yang pertama, proses pengambilan pensyarah-pensyarah dimasa akan datang dan perlanjutan pengajian PHD mereka perlu fokus kepada bidang yang fundamental tetapi masih hampir dengan aplikasi terutamanya yang berunsurkan inovasi. Bentuk pengajian sebegini kerap ditawarkan di universiti-universiti terkemuka di dunia, maka hantarlah mereka ke sana.
Yang kedua, pensyarah-pensyarah sedia ada perlu digalakkan untuk mengulang kaji aspek-aspek fundamental dan unsur-unsur matematik yang berkaitan dengan bidang mereka. Ini boleh dilakukan melalui kempen-kempen kesedaran ataupun melalui langkah yang lebih formal seperti menghadiri kursus dan bengkel.
Maka boleh disimpulkan bahawa ranking universiti dunia ini, walaupun mempunyai pelbagai pandangan dan respon, masih boleh menjadi kayu ukur kepada pencapaian universiti universiti kita.
Ukuran ini adalah penting kerana ia boleh menentukan halatuju universiti-universiti kita terutamanya dalam membantu negara menyediakan ekonomi lestari menjelang 2020 melalui penghasilan ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru serta inovatif. Sesungguhnya, sejarah telah membuktikan “Siapa berilmu dialah kudrat”.
Dr Airil Yasreen Mohd Yassin
Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru
link to sinar harian: http://www.sinarharian.com.my/mobile/arkib/ranking-universiti-dan-permasalahannya-di-malaysia-1.203573
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment